April 27, 2010

Kalau Zaman Ini Adalah Zaman Wali Songo, Dah Lama Nik Aziz Kena Bunuh!

Sejak-menjak ni, tingkah laku orang yang bernama Tuan Guru Nik Aziz susah aku hendak perjelaskan. Aku bukan tak suka Nik Aziz, aku cuma TAK SETUJU dengan banyak perkara yang di lemparkan oleh beliau. Takde pun lah nak mencela, memaki atau mengutuk beliau. Aku menuntut Pengajian Islam di universiti aku, aku tahulah hukum mengutuk sesama Islam itu berdosa. Apatah lagi kalau nak takfir-takfir. Itu hanya akan membuatkan dosa makin tak tertanggung.

Jadi, bila sebut hal kutuk-mengutuk. Bagi aku, sekarang bila asal sebut politik. Kutuk-mengutuk adalah kemestian. Series aku tak gemarkan benda ni. Walau dulu aku pernah terjebak sama. Namun, bila aku matang dengan bagaimana Islam itu berfungsi dalam diri, aku elakkan perkara mengutuk tu sebab politik. Kutuk pasal bola takpe, lain. Prinsip aku mudah, jika aku nak berbuat dosa sekalipun, biar aku dosa sorang diri, aku taknak libatkan orang lain. Sekarang ini, aku tak mengutuk, aku lebih kepada 'mempersoalkan'.

Kembali balik pada perbincangan Nik Aziz. Rata-rata memang satu Malaysia memang kenal dia. Beliau memang banyak pengaruh dalam hal ehwal keagamaan. Kalau penulis Singapore Strait Times hendak menulis biografi pasal Nik Aziz, pasti akan di tulis Nik Aziz is Malaysia islamic heroes. Itu di akui kalau kita lihat para pengikut, pendengar ceramah yang setia mendengar. Nik Aziz ni kalau nak di bandingkan jumlah pendengar ceramah dia dengan ilmuan agama A'a Gym dari Indonesia. Kira boleh compete lah. Kat situ aku salute lah. Tambah lagi dengan apa yang aku baca dari Mastika dan Harakah mengenai kezuhudan Nik Aziz, aku tambah salute. Itu tak termasuk lagi kalau korunk pergi umrah di bawah Andalusia Travel. Bergendang-gedung orang Asia kat Mekah sana sebut pasal Nik Aziz. Aku yang mendengar ni, aku just senyum je lah.

Tapi, aku sekadar senyum. Mengapa aku senyum? Adakah sebab aku tahu rahsia-rahsia Nik Aziz. Takde lah, jumpa pun tak pernah, macam lah aku nak duduk dengan dia 24jam. Cuma aku banyak membuat kajian Islam masa di universiti. Banyak membaca. Belajar ilmu aqidah, fekah, syariah dan sebagainya. Itu tak termasuk lagi ilmu agama yang aku pelajari sewaktu lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Khas Agama Negeri Johor. Subjek Tasauf adalah subjek feveret aku.

Nik Aziz bagi aku.. jika beliau hidup di zaman Wali Songo, aku rasa dah lama dia kena bunuh dengan Sunan Kalijaga. Sebab ada beberapa kenyataan atau boleh juga di katakan fatwa beliau yang agak terkeluar, agak terpesong, dari landasan maslahat. Sama seperti Sunan Siti Jenah yang kena bunuh oleh Sunan-sunan Songo. Tapi, kes Siti Jenah adalah pertelingkahan antara kepentingan syariah yang didukung wali Songo menentang kepentingan tarekat-hakekat yang didukung Siti Jenah.

Korunk ingat lagi pasal kenyataan Nik Aziz mengenai 'berkawan dengan syaitan'? Dalam hal ini, mungkin ada polemik. Nik Aziz mungkin bermaksud 'syaitan' tu sebagai Yang Terteruk. Ye lah, kalau tanya orang Islam, DAP memang teruk. Tapi, walau teruk-teruk DAP tu, syaitan lagi teruk. Kiranya, Nik Aziz merasakan seteruk-teruk mana pihak tu pun walau macam syaitan, tiada masalah untuk bekerjasama asalkan baik untuk perkembangan Islam. Walau bagaimanapun bagi pendapat aku, lebih baik jangan guna perkataan syaitan. Ada perkataan lain lebih sesuai.

Tapi, bagaimana pula dengan kenyataannya pada 29April2009 yang berbunyi,

"“Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut dan mencaci sesorang jika kena pada tempat dan masanya, kerana ia sudah menjadi salah satu naluri."

Hmm. Aku boleh menerima kalau di sebut naluri. Namun perlu ke menyebut 'Islam tidak melarang'? Islam melarang okay. Yang salah tetap salah.

Bagaimana pula kata beliau pada 23April1994,

Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram"

Kebal sangatkah PAS ini. Aku tak merasakan ini adalah ayat mengajak manusia kepada kebaikkan. Tapi, ini adalah ayat keangkuhan. Walaupun mahu menyatakan mengenai konteks menjalankan pemerintahan cara Islam, tak seharusnya mengeluarkan perkataan 'haram'. Sebab, bagi aku. Bila sebut pasal parti, pilihanraya, demokratik, undi dan kempen. Semua itu takde dalam konteks membentuk pemerintahan Islam. Korunk boleh nilai sendiri bagaimana kerajaan Khulafah Ar-Rasyidin terbentuk. Adakah melalui pilihanraya? Tidak. Sebab itu, aku tak heran banyak Ahli Salafi dan Sufi yang tidak sependapat dengan PAS. Kalau nak dibandingkan Ahli-Salafi dan Sufi yang ada di Malaysia ini dengan ahli PAS..... Hmmm. Kasihan ahli PAS ni.

Sebab itu. Aku tak sukakan laungan demokrasi. Sebab, bila taksub sangat dengan demokrasi. Islam lupa entah ke mana. Bila taksub sangat dengan PAS dan Nik Aziz. Budi pekerti pun lari terbang ke sana-sini.

Ada lagi satu kenyataan Nik Aziz yang aku hendak kongsi,

Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri-ciri kafir.

Aku memang tak setuju dengan sistem UMNO. Tapi, aku takkan sampai mengkafirkan. Adakah aku tergamak hendak mengkafirkan datuk aku sendiri yang meninggal mengucap kalimah syahadah depan mata aku sendiri? Arwah datuk aku AJK UMNO kampung aku. Nik Aziz tidak tahukah UMNO itu digerakkan oleh seagama-nya sendiri? Tapi, nak buat macam mana, sedangkang al-Ghazali pun boleh mengkafirkan Ibnu Sina dan Al-Farabi kerana khilaf mengenai hari pembangkitan. Mungkin Nik Aziz melihat itu sebagai realiti, tapi yang pasti, isu kafir-kafir ni tak memberi faedah pada Islam bukan?

Realitinya, makin hari aku lihat pengikut PAS yang fanatik dan taksub sahaja semakin melampau dalam berpolitik. Aku takut satu hari nanti, bila perkara ini tak di bendung, PAS akan di cap seperti Al-Arqam.

Dan selalu perkara ini terlintas dalam kepala aku. Adakah jika mahu memilih Islam, hanya PAS dan Nik Aziz sajakah pilihan yang kita ada? Aku rasa tak. Bagi aku, baik PAS ataupun UMNO, kedua-dua nya tidak layak memegang syiar Islam buat masa ini. Dan kedua parti itu bukanlah satu-satunya pilihan yang kita ada. Kita masih ada ABIM, Gerakan Dakwah Islamiyah Malaysia, Majlis Ulamak dan Mufti Kebangsaan, ahli-ahli Salafi dan Sufi, para tabligh dan pensyarah-pensyarah universiti yang mengajar Islam. Banyak pilihan kita untuk kita sandarkan pada mereka dalam merevolusikan Islam di Malaysia. Percayalah, selagi kita meletakkan masa depan Islam pada PAS, pada ulama dan umara mereka. Selagi itu, Islam kita di Malaysia akan terus berpecah.

Tapi tu lah, aku ni hanya hamba Allah. Kalau ada orang hendak menilai apa yang aku cakap dengan melihat dosa dan pahala aku. Memang aku tak boleh buat apa, aku diam je la. Tapi, kalau nak menilai apa yang aku cakap melalui ilmu yang aku ada. Korunk ambillah perhatian.

p/s: Kalau aku pergi mengundi sekalipun, aku masih pilih BN. Sebab? Kerajaan sekarang masih tak sekat aku belajar agama. Tu je.