Disember 24, 2011

T e r a k h i r


Aku mempunyai sebuah kumpulan kugiran. Nama kumpulan kugiran aku ialah Gaban Seven. Mungkin ada antara kamu tertanya-tanya dengan namanya yang sedikit janggal untuk didengari bukan? Mengapa Gaban Seven? Mengapa Gaban dan mengapa pula Seven?

Seingat aku nama Gaban Seven itu bermula dari nama lama kumpulan rock n roll di sebuah pekan di Johor Bahru utara. Nama band rock n roll itu ialah Gaban Seven. Oleh kerana band itu telah berkubur kerana vokalisnya melanjutkan pelajaran dan gitarisnya pula dengar khabar kena campak belajar di Sabah, maka vokalis kumpulan kami sewaktu itu (masih belum ada nama kumpulan. kalau ada pun, menjijikan), mencadangkan nama Gaban Seven digunapakai (dengan keizinan). Cara-cara seorang 'bro' bercakap dengan 'bro' selalunya berbunyi begini;

"Gaban Seven? Ok je. Gua On."

"Gua pun On kalau yang lain-lain On"

"Gua ikut majoriti"

Kerana dasar 'bro by bro' digunapakai (sebenarnya gaya Melayu tulen), maka terhasil-lah nama band tersebut. Kamu mungkin menggunapakai dasar 'bro by bro' ini bila kamu lepak mamak dan mahu merancang ke sesuatu tempat bukan?

Gaban diambil dari sebuah nama superhero Jepun terkenal. Manakala, Seven pula bukan bermaksud anggota kami ada tujuh orang. Tapi, sengaja untuk diletakkan bagi menyedapkan ayat. Oh ya, tujuh mungkin nombor bertuah (jangan terlalu percaya).

Pada mulanya dianggotai oleh tiga-rakan-karib termasuk aku. Kami mula bermain di gig-gig kecil termasuk pernah bermain di Pulau Pinang bersama kugiran hardcore terkenal sewaktu itu, The Padangs. Aku tak berapa suka dengan The Padangs sebenarnya, namanya tak sedap. Heh. Pernah juga bermain di Kuala Lumpur dan Batu Pahat. Sewaktu itu bergerak sekali-harung dengan Halal/Hadhari. Tempias-lah sedikit.

Sewaktu kugiran kami bergerak secara three-piece. Konsep kumpulan kami ialah rock-garage dan alternative. Namun, setelah beberapa bulan menyedari hakikat bahawa vokalis aku itu rupa-rupanya pandai 'scream'. Bahkan scream-nya seakan Dani Filth, terus aku mengubah komposisi lagu yang ada pada Gaban Seven dan menukar 180 darjah band ini dari rock-garage-alternative kepada post-hardcore dan punk-metal. Tambahan itu, membawa masuk seorang anggota baru untuk bermain bass. Mungkin kerana bassist aku ini jiwa dia jiwa Iron Maiden, sebab itulah ada punk-metalPost-hardcore itu macam mana? Kamu boleh rujuk Fugazi ataupun At The Drive In. Manakala punk-metal (genre ini besar sebenarnya), kamu boleh rujuk Maximum The Hormone dan Bullet For My Valentine.

Kugiran aku ini hanya sempat merakam 1 lagu secara track-by-track, 2 lagu secara live-proper, dan 5 lagu secara rakaman rabak iaitu rakam menggunakan kamera digital. Tapi bukan de-es-el-ar. Sempat juga menerbitkan satu demo untuk dihantar ke organizer dan penerbit album kompilasi. Tak silap aku, ada satu lagu pernah masuk dalam kompilasi atau split, lagu-lagu hardcore untuk pasaran hardcore di Sepanyol. Hebat? Abaikan. Hidup berkugiran terus-terang aku cakap, masa depan itu samar-samar.

Ada orang cakap yang band kami boleh pergi jauh. Sekurang-kurangnya boleh main Rock The World (katanya-lah). Ada juga cakap sekurang-kurangnya se-level Second Combat sebab dia orang cakap antara lagu Second Combat dan lagu band aku ini, lagu dari band aku lebih bagus. Tapi, bagi aku itu semua cakap-cakap orang yang hendak maju tapi tak pandang kiri kanan, mungkin. Bukan senang hendak pergi jauh. Cakap hendak pergi jauh memang senang. Hendak pergi jauh kena ada masa, komitmen, duit, lagu bagus yang konsisten dan marketing gig yang berani. Ini bukan lagi macam kugiran Shizuka yang hanya popular satu lagu iaitu Redline sebab disebar melalui bluetooth sewaktu zaman 2005-2006. Perkara itu seabad mungkin sekali baru boleh berlaku. Kugiran aku selepas membuat rakaman, kami kehilangan masa dan komitmen disebabkan ada yang melanjutkan pelajaran. Sebab itu sukar hendak pergi jauh. 

Dan kini, kalau kamu hendak tahu. Flyers di atas ialah gig terakhir buat kugiran Gaban Seven. Kugiran ini akan terhenti atau hiatus atau mungkin bubar kerana masing-masing sudah berumur (konon tua), cari duit hendak mendirikan rumah-tangga dan menumpukan pada kerjaya tetap masing-masing. Aku sebak sebenarnya, bukan kerana gig terakhir. Tapi, memori bermain kugiran bersama rakan-rakan karib, seperjuangan adalah memori yang tak ternilai bagi seorang peminat dan pemuzik seperti aku. Pekakkan telinga bila ada orang cakap main muzik sebegini rosak akhlak. Tapi, mereka yang cakap ini tak pernah pun dengar lagu mahupun membaca lirik yang ada. Ada satu lagu aku tulis, dedikasi semangat untuk anak-anak muda tabah menghadapi penceraian ibu bapa. Tak lah teruk sangat jika difikirkan.

Panjang rasanya tulisan kali ini. Patut berhenti. Mungkit digamit perasaan. Oh, aku main gitar. Selamat berkenalan dan selamat berpisah. Tiga tahun yang indah buat Gaban Seven. Cheers!







p/s : Video ini adalah video pertama kali kugiran kami berlatih bersama.
p/s : Onesta adalah band hardcore dari Paris, France.
p/s : Kalau hendak mendengar lagu Gaban Seven yang tak berapa nak sedap tu, layarilah facebook Gaban Seven. Semua lagu di-compose oleh aku. Tu je.

7 ulasan:

c!k baBy berkata...

ehh.drummer tu cam azri aris je.

Aqram berkata...

memang pon. haha.

Kc Kasedah berkata...

ohh kau main dgn onesta ke? haha kwn aku bebudak betrayal conflict ngn facedown.

aku tengok onesta kat kl aje.

Syazrul Aqram berkata...

kau power kc. kau power!

grrr.

Lucifer berkata...

Aku klik atas tak jumpa page tu.

Tanpa Nama berkata...

The Padangs tu band feveret gua beb.. Second Combat the true SxE..

Daddylicious berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.