Aku melihat konflik dalam memperkasakan kefahaman Islamiyah telah berada dalam kondisi tegang, setelah beberapa kejadian yang melibatkan ketidak-sefahaman antara dua mazhab terbesar dalam agama Islam iaitu Sunnah Wal-Jamaah dan Syiah di Malaysia.
Ingin aku mengulangi pendapat yang telah aku tuliskan dalam artikel bertajuk Mendemokrasikan Mazhab. Kesimpulan yang aku perolehi, atau pendirian aku, rasanya lebih kepada sebuah premis yang tak mahu terjebak dengan permasalahan mazhab dan hanya mahu menyelamatkan diri sendiri agar tidak terjerumus ke lembah kesesatan.
Namun, aku sendiri persoalkan. Dan kalian mungkin kadang-kala persoalkan. Sampai bila Islam hendak berpecah? Mengapa Islam berpecah? Kenapa sampai begini pecahnya perpaduan Islam itu?
Sila beritahu aku, dalam surah mana pada Al-Quran yang menyebut Tuhan suruh Islam ini di pecahkan kepada mazhab? Sila beritahu juga dalam surah mana pada Al-quran yang menyebut Allah mahu Islam ini di pecahkan kepada 4 imam?
Kalau ada, beritahu aku. Jika ada hadis sahih, beritahu aku. Hadis dhaif aku tak nak. Tapi, aku yakin, memang tiada pun dalam mana-mana surah menyatakan Tuhan berfirman untuk melabel-labelkan jalan kebenaran itu dengan pelbagai mazhab, takrifan mahupun ikutan. Yang berkali-kali Tuhan sebut ialah, ikutilah perintah-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Jalan baik dan jalan buruk. Bukan sekali di ingatkan, tapi BERKALI-KALI. Simple. Itupun ada orang tak faham-faham lagi.
Mungkin lah, mungkin ada di sebut mengenai Sunnah Wal-Jamaah dalam al-Quran. Tetapi, tak lah pula Tuhan berfirman untuk melabelkan Sunnah Wal-Jamaah sebagi satu mazhab! Mungkin aku kurang mengerti dengan nahu bahasa Arab. Namun, menurut yang aku baca, fahami dan pertanyaan yang aku buat. Memang label mazhab ini sepatutnya tak wujud dan tak perlu wujud!
Ini mempersoalkan fikiran kita untuk kita berfikir sejenak. Bagaimana wujudnya label mazhab dalam Islam?
Aku cuba menerokai sejarah. Dan aku lihat perpecahan ini lebih kepada perselisihan, khilaf dan tafsiran mengenai Islam. Semua perselisihan, khilaf dan tafsiran ini sedikit-sebanyak telah memberikan pilihan kepada umat Islam. Ya, dalam psikologi, pilihan merupakan satu skala struktur untuk manusia berbeza antara satu sama lain. Bila di aplikasikan kefahaman psikologi mengenai pilihan yang terdapat pada Islam itu sendiri, iaini kerana perselisihan, khilaf dan tafsiran, maka sudah tentunya pilihan itu sendiri yang menyumbang kepada perpecahan.
Contohnya ; Wujud pertikaian mengenai wudhu yang terbatal. Imam Hanafi berpendapat wudhu si suami tak terbatal walaupun dia menyentuhi isterinya asalkan bukan menyentuh dengan syahwat. Manakala, Imam Syafie berpendapat walaupun tanpa syahwat, asalkan saja bersentuhan, ia dikira terbatal.
Ini mungkin terjadi kerana asimilasi budaya setempat dan Islam atau di kenali sebagai Uruf. Ada banyak sebab lagi terjadi perbezaan dalam aplikasi dan ideologi Islam itu sendiri. Pilihan kadangkala meringankan. Namun, bila terlalu banyak pilihan. Ia menjahanamkan.
Contohnya ; Ah, kita sendiri kadangkala rambang mata bila terlalu banyak pilihan makanan. Lalu kita keliru dan memilih makanan yang salah. Kan? Apatah lagi dalam pilihan ikutan dan tarekat dalam Islam? Mengelirukan tak?
Analogi ini boleh menerangkan, akibat sifat-sifat manusia yang buruk, ia menyebabkan perpecahan ideologi dan mazhab kerana pelbagai pilihan. Sifat itu ialah EGO, TAMAK, TAK TETAP PENDIRIAN dan TIADA TOLERANSI dalam memahami susur jalur kesefahaman pada tafsiran kita terhadap Islam. Mungkin ada banyak lagi penyebab, TERLALU NAK RARE sangat? Itu yang sampai jadi naik ke langit? Jadi nabi Melayu? Terlalu ADDICTED atau MOTIVATED? Sehingga satu blog ditampal muka tokoh Islam besar-besar dari sana ke sini.
Masalah ikutan imam ini sepatutnya tidak patut kita jadikan sebagai perpecahan. Pilihan yang ada ini sepatutnya kita pergunakan sebaik mungkin dalam berkehidupan. Bukannya menggunakan pilihan itu untuk berpecah.
Begitu juga masalah mazhab. Aku sering terfikir. Kenapa umat Islam selepas zaman Rasuluallah SAW ada yang begitu ingin memenangkan Saidina Ali untuk di jadikan khalifah? Adakah ini kerana taksub? Kenapa pula sahabat-sahabat Rasuluallah SAW yang lain pula merasakan Abu Bakar, Umar dan Uthman lebih layak menerajuinya dahulu, kenapa bukan Ali? Adakah motivasi umat Islam waktu itu yang terlalu protected kepada keluarga Rasuluallah? Tiada tanggapan kronisma-kah jika penyambung legasi Rasuluallah terus menerus kepada keluarga nabi sahaja pada waktu itu? Apakah tiada tokoh lain yang selain dari keluarga nabi itu yang layak?
Cuba fikirkan pula psikologi berbalik ini kepada persoalan kenapa nabi yang terakhir kita datang dari orang Arab, walhal sebelum ini semuanya ramai dari kalangan Yahudi? Sama juga implikasi dendam-nya majoriti Yahudi kepada Islam, dan mungkin kepada Tuhan, kerana tidak percaya, atau tak boleh menerima hakikat bahawa nabi yang terakhir itu ialah Muhammad dari bangsa Arab. Bandingkan pula kewujudan Syiah yang tidak menerima hakikat bahawa Abu Bakar, Umar dan Uthman sebagai khalifah terawal, dan bukannya Ali.
Dari situ, aku lihat sifat ketiadaan toleransi pada umat Islam sebenarnya yang membunuh perpaduan umat Islam itu sendiri. Lebih menjengkelkan, perpecahan yang dahulu itu, cuba di bawa di zaman kini. Dan lebih penting, ketiadaan sikap ketegasan dalam melaraskan gaya Islam yang tulen agar di praktikkan kepada penganutnya. Itu lebih utama. Kelemahan dari pemimpin umat kita sendiri dan perundangan Islam yang tampak lemah di cabuli undang-undang Barat. Itu semua menyumbang serba sedikit kepada semakin lari-nya pegangan umat Islam kini dari jalan yang lurus kerana mempunyai pelbagai pilihan jalan hasil dari sikap melopong dengan banyak pilihan dari umat Islam itu sendiri. Aku taknak sebut pasal peranan parti politik di sini, nanti ada yang perasan parti dia pejuang Islam tulen. Tulenkah jika berpakat dengan ideologi sosialis-komunis?
Aku berharap biarlah kita sedar bahawa ; tiada pun soalan yang bertanyakan kau dari mazhab apa di dalam kubur nanti. Jika ada manusia yang bertanya kau dari bermazhab apa, katakanlah kau hanya mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Itulah 'mazhab' kau, yang kau pegang sampai mati, untuk mati sebagai Islam!
Sekian. Asalamualaikom!





















