Januari 07, 2015

SIHIR

"Sampai bila kita nak macam ni bang? 10 tahun kita melawan sihir?" keluh Yuhanis pada suaminya, Herman.

"Ini semua punca dari abang, kalau abang tak layan peremp..." kata-kata Yuhanis terhenti kerana Herman memandang Yuhanis dengan wajah garang.

"Awak.. haishh boleh tak.. haishhh" balas Herman menahan marah. Dia sebenarnya mahu memaki isterinya tetapi memandangkan dirinya masih ada rasa hormat, dia hanya boleh menahan dengan perkataan 'haishh'.

"Hal yang lepas, lepaslah. Yang sekarang ni kita kena sama-sama kuat hadapinya." sambung Herman semula.

Jika bukan kerana Herman melayan perangai gedik Juhana waktu 10 tahun dahulu. Mungkin semuanya boleh berubah. Ketika itu, Yuhanis dan Herman baru mendapat cahaya mata yang pertama. Dia (Yuhanis) masih ingat sewaktu Herman memperkenalkan Juhana sebagai rakan sepejabat Herman. Setelah lama berkawan, perangai Herman berubah menjadi pemarah terhadap Yuhanis. Tiada lagi Herman yang romantis dan caring. Asyik nak marah dan ada saja yang tak kena.

Setelah 3 tahun dari waktu perkenalan, barulah diketahui rupa-rupanya Juhana telah me-nasi-kangkang-kan Herman supaya tunduk dan patuh macam orang bodoh atas segala permintaan Juhana.

Apabila diketahui hal ini, Yuhanis bertekad membawa Herman kembali ke pangkal jalan. Yuhanis bawa Herman berubat dan menjaga Herman sebaik-baiknya. Herman bertukar kerja ke Shah Alam apabila mulai sedar dirinya telah disihir oleh Juhana, manakala Juhana pula masih kekal di Bangi.

Menurut Tok Leha yang setia mengubati Herman dan Yuhanis selama 7 tahun sehingga sekarang, sihir yang dibuat oleh Juhana amat kuat. Dikatakan Juhana menuntut ilmu hitam dengan iblis dan Juhana boleh bertukar bentuk. Malah, boleh menghantar santau serta binatang dan serangga untuk mengintip gerak geri Herman dan isterinya,

"Ini dendam kesumat Man." pesan Tok Leha pada Herman dan isterinya.

"Selagi dia tak dapat apa yang dia nak, selagi dia tak dapat lupa kejadian kau memalukan dia depan orang ramai pasal sihir dia, selagi itu dia takkan berhenti. Kau kena cekal Man." tambah Tok Leha lagi.

Pesanan-pesanan Tok Leha itu Herman sentiasa ingat dan segala amalan perubatan tradisional Islam diamalkan dengan tertib oleh Herman. Siapa yang tak cuak kalau berhadapan dengan perempuan sihir yang boleh jadi-jadian? Dulu Herman dan Yuhanis pernah terjumpa monyet jadian berwarna putih di belakang rumah, merenung mereka dengan mata yang merah dan tajam.

Monyet jadian belakang rumah, mentadak-mentadu dalam selimut, pelesit atas gambar, cacing merah panjang atas sinki, lalat dalam kapal terbang yang terbang 35 ribu kaki, musang hijau atas para, kokang bersiul atas atap, dan banyak lagi. Ilmu jadian apa agaknya Juhana pakai?

Semalam adalah perkara pelik yang di alami Herman sewaktu mula bertugas seperti biasa. Dia rasa bagai ada yang tak kena. Mula-mula dia macam biasa menyusun buku. Kemudian dia mendapat satu pesanan SMS yang tertulis;

"Aku akan terus cari kau sampai lubang cacing!"

Herman diam dan tak mengendahkannya. Tetapi apabila dia menoleh ke kiri, dia terkedu sebentar. Terpaku. Benda itu merenung tajam pada Herman dan mendengus kuat.

"Ah sudah, apa hal ada babi hutan dalam perpustakaan?"






Tamat

Tiada ulasan: