Januari 11, 2016

Bahasa Santai

Mengapa 'bahasa santai' banyak digunapakai dalam era penerbitan di Malaysia kini terutama oleh penerbit-penerbit 'independent'?

Motifnya amat penting. 

Menggalakkan masyarakat Malaysia yang kurang minat membaca buku untuk mula rajin membaca buku.

Untuk mendekati masyarakat, penerbit buku independent perlu 'blend' dengan masyarakat. Maka pembikinan buku dari pelbagai kategori dan genre seeloknya dekat dengan bahasa yang digunapakai masyarakat.

Ada orang kata bahasa santai ini bahasa pasar. Tidak elok guna bahasa pasar dalam pembikinan buku kerana dianggap mengabaikan nilai bahasa.

Kata DBP dalam artikel Berita Harian baru-baru ini;

"Karya indie abai nilai bahasa."

Bagi kami, nilai bahasa amat kami titik beratkan. Dakwaan mengatakan manuskrip yang hendak diterbitkan hanya disunting oleh penulis, adalah kurang tepat.

Kami ada sebuah pasukan yang menilai dan menyunting manuskrip para penulis. Pasukan ini menyemak keseluruhan manuskrip termasuk penggunaan bahasa.

Seperti contoh untuk siri Kitab Terfaktab edisi baru, kami mengupah seorang pengamal linguistik sebagai editor untuk menyemak semua tatabahasa yang ada di dalam buku tersebut. Kemudian terdapat seorang pengatur huruf akan menyemak sekali lagi untuk memantapkan plot dan penceritaan.

Tetapi, seperti yang diingatkan dalam motif penting, bahasa santai perlu dikekalkan sebagai cara untuk mendekati masyarakat yang kurang membaca atau mereka yang lebih gemarkan bahasa 'percakapan seharian'.

Jadi, ini peranan yang amat berat untuk seorang editor di penerbitan independent. Dalam menjaga nilai bahasa, perlu juga menjaga motif penerbitan untuk tampilkan bahasa yang boleh 'blend' dengan masyarakat. Dua tanggungjawab.

Lebih berat jika dibandingkan dengan kerja seorang editor yang hanya tumpu satu perkara; Menjaga nilai tatabahasa. Atau dalam bahasa santai yang kami selalu sebut; "golongan Nazi Tatabahasa". Hanya ikut peraturan dalam buku. Tidak fleskibel.

Bahasa santai masih kekal secara umumnya menggunakan bahasa Melayu. Terdapat percampuran dengan bahasa Inggeris kerana kami berpendapat jelas;

Apakah pihak mereka sedar yang generasi ini mempelajari bahasa Melayu dan Inggeris sejak darjah satu hingga tingkatan lima secara serentak tetapi seolah tidak boleh terima hakikat bahawa kedua bahasa ini boleh digunakan juga dengan serentak dalam penulisan?

Contoh ayat;

"Sorry, saya tak boleh handle kerja ini" PAP! terus dicop bahasa pasar. Terus dilabel abai nilai bahasa. Bahasa rojak. Ini gila.

Pihak mereka harus tahu, terdapat banyak penerbit independent di Malaysia yang turut membuka imprin untuk bahasa Inggeris. Seperti kami di imprin Terfaktab Vine. Lakukan atas motif penting; Tanggungjawab sosial untuk mendekati pembaca dengan buku bahasa Inggeris yang mudah difahami oleh rakyat Malaysia.

Bukan mudah sesebuah penerbitan hendak mengendalikan dua bahasa sekaligus. Ini memerlukan kos dan kemahiran yang fleksibel.

Akhir kata; bahasa akan terus berkembang. Ingatlah, bahasa bermula daripada percakapan manusia kemudian direkod dalam bentuk bertulis.

Al-Quran itu dibentuk melalui apa yang disampaikan (yang keluar dari mulut Rasulullah SAW), kemudian para sahabat menghafaz dan menulis (merekodkan) di atas batu, kulit kambing, dinding dan banyak lagi. Al-Quran bukannya diturunkan lengkap bertulis menjadi sebuah buku seperti yang kita lihat sekarang.

Bermakna, bahasa kita ini harus kembali dinilai dari apa yang dituturkan masyarakat. Jika perkataan seperti 'Bro' (bermaksud panggilan ringkas untuk seseorang terutamanya lelaki yang diambil dari perkataan Inggeris 'Brother') sudah acapkali digunapakai dalam masyarakat kita. Maka haruslah perkataan Bro perlu direkod dalam Kamus DBP satu hari nanti. 

Itu sepatutnya kerja Dewan Bahasa Dan Pustaka. Menjadi perekod bahasa yang peka.

Sekian.

3 ulasan:

PS berkata...

keep it up. nice writing.
i agree 100%.

Jes_Oren berkata...

kdg aku x pasti karya indie ni karya kreatif ke karya picisan.
idea ada, tapi lebih kepada merosak generasi.

Sofia Nin berkata...

Saya rasa terpanggil untuk share benda ni, kalau diizinkan :)